Jenguk iklan kat sini

Isnin, Oktober 24, 2011

Sekadar RENUNGAN agar BERSYUKUR..



SETIAP KEPAYAHAN ADA KENIKMATAN


Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah terdapat satu lingkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup. Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya. Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil pungutan mangga yang diperolehi.

Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana ‘galah pendek’ yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.

Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.

Setelah selesai memungut semua mangga-mangga maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar memperoleh tiga bakul.

Pemilik kebun memberikan pemuda pertama upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan. Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda kedua berbanding pemuda pertama.

PEMUDA KETIGA YANG KALAH

Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.

Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dasyat jika diletakkan Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.

Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan selepas mati dan bukan di alam ini.

Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam selepas kematian perlu untuk itu.

Bicara tentang fungsi.
Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. [az-Zariyat 51:56]

Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya. Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.‘Passing mark’nya pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya.

Semua telah ‘dibocorkan’ oleh Allah Subhana wa Ta’ala di dalam firmannya:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah 2:155-156]
Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa, segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan ‘markah’ sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan, harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita, tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!

Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia. Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]

Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak sihat mampu menggapainya.

BAGAIMANA IBADAT SI MISKIN MAMPU SETANDING SI KAYA?

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, katanya:
Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka bekata: “Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan kekal abadi.” Tanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam: “Kenapa begitu?” Jawab mereka, “Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak (mampu) memerdekakan hamba. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat memperoleh pahala orang-orang terdahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? dan tidak ada yang lebih utama daripada kamu melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu” Mereka menjawab: “Baiklah, wahai Rasulullah.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas solat 33 kali.” Berkata Abu Shalih: Orang-orang miskin dari kaum Muhajirin kembali kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan, maka mereka melakukan hal yang serupa.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” [Sahih Muslim – no: 595]

Dalam menghuraikan maksud dan faedah-faedah hadis di atas, ulamak memberikan pelbagai interpretasi. Antara interpretasinya adalah bahawa sebenarnya setiap pihak di dalam hadis tersebut mempunyai kelebihan. Yang kaya dengan kelebihan amalan yang disebutkan di atas, ibadah bersifat harta dan tentu sekali disertakan dengan ujian kesyukuran. Yang miskin pula dengan kelebihan menjadi sebab terdedahnya amalan penuh berkat tersebut kerana mereka bertanya. Bukankah bagi mereka yang memulakan kebaikan, dia memperoleh pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mencontohinya? Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. [Sahih Muslim – no: 1017]
Dan tentu sekali kemiskinan mereka itu disertai dengan ujian kesabaran terhadap kesukaran hidup. Kedua kelompok mempunyai kelebihan dan ujian mereka tersendiri.

Begitulah Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa adil. Setiap manusia tidak kira apapun keadaan mereka sentiasa ada ruang untuk mencapai redha-Nya dan memperoleh ganjaran terbaik buat akhirat.

Kita bukanlah dizalimi sekiranya dihinggapi penyakit kronik, miskin, kurang upaya dan sebagainya. Tetapi sebenarnya diuji. Dan dalam ujian berat itu ada ruang yang boleh kita gunakan untuk menggapai redha Tuhan. Yang mungkin ruang tersebut tak mampu ditemui orang yang tidak ditimpa masalah seperti kita.


 JIKA KITA RASA HIDUP KITA SUSAH, RAMAI LAGI YANG LEBIH SUSAH DARI KITA. SEKURANG-KURANGNYA KITA DIBERI ANGGOTA BADAN YANG CUKUP SIFAT DAN MASIH BOLEH BERGERAK BEBAS KEMANA SAHAJA KITA MAHU.
BERSYUKURLAH DENGAN APA YANG ADA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan