HASAD DENGKI
IMAM AL-GHAZALI TELAH MERUMUSKAN BAHAWA
TERDAPAT 7 SEBAB MENGAPA TIMBULNYA SIFAT HASAD DENGKI DALAM DIRI MANUSIA, IAITU
:
PERTAMA :
Perseteruan Dan Kebencian - ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling
jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak
disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak
peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya
sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian
akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke
atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa
berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan
kesenangan. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud :
"Jika kamu memperoleh kebaikan,
nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka
bergembira kerananya..."
( Surah Ali Imran : Ayat 120 )
( Surah Ali Imran : Ayat 120 )
KEDUA :
Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan - iaitu terasa begitu berat dalam hatinya
atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas
darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang
lebih darinya, sama ada tentang pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta
kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap
angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada
dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak
rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.
KETIGA :
Angkuh (Takbur ) - angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa
yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang
diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa
bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut
ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada
takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan
Arab Jahiliah.
KEEMPAT :
Ta'ajub - rasa ta'ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan
kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi
tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan
sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain
membodek serta memuji dirinya ( suka diampu ). Akan lahir rasa sakit dalam
hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.
KELIMA :
Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai - perasaan ini terkhusus bagi mereka
yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang yang sama,
seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan
kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang
politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin
atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun
menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi
membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.
KEENAM :
Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu - seperti seseorang
yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh
dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang
berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan
supaya dirinya sentiasa disanjungi dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang
sedemikan, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu
menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika
pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya
dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.
KETUJUH :
Busuk Hati - hasad yang berpunca daripada busuk hati ini payah untuk dirawat
kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang
hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia
beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut
sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah
datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa
yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lainpun beliau sanggup mempertikaikan
Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.
KESIMPULAN :
Jika dalam diri kita bermaharajalela hawa nafsu yang berpunca daripada
ketujuh-tujuh sebab ini, maka akan lahirlah perasaan hasad dengki dan khianat
dalam diri kita. Jika ianya tidak dapat dihindarkan ataupun kita tidak berusaha
untuk menepisnya keluar dari dalam hati kita, maka hasad dengki dan khianat ini
akan sebati dalam darah daging kita. Justeru, cara merawatnya supaya sifat
hasad dengki ini terhindar dalam diri kita ialah dengan kita melakukan
tindakan-tindakan positif yang bertentang dengan maksud ketujuh-tujuh punca
kejahatan yang disebutkan di atas.
" Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu adalah dari diri kita sendiri "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan