Biasa kita dengar istilah Anak Derhaka jer kan.. Tapi kita jarang didedahkan dengan istilah Ibu Bapa Derhaka.. Sebenarnya memang wujud ibu bapa derhaka.. Jangan ingat status kita sebagai ibu bapa yang Allah muliakan, buatkan kita bermegah dengan anak-anak dan sewenang-wenangnya boleh gunakan 'kuasa' itu.. Jadi, berhati-hatilah dalam mendidik anak-anak kerana secara tak sedar kengkadang kita sebagai ibu bapa pun boleh derhaka pada anak-anak..
Sebagai ibu bapa, ini antara perkara yang WAJIB kita penuhi supaya kita tidak tergolong dalam kalangan IBU BAPA DERHAKA..
1. KEPERLUAN FIZIKAL
* Makan, minum dan tempat tinggal.
* Keperluan kesihatan.
2. KEPERLUAN AKAL
* Ilmu mengenal Allah iaitu ilmu mengenal agama.
* Ilmu duniawi untuk kemajuan dan perkembangan di dunia.
3. KEPERLUAN EMOSI
Tip-tip untuk pengisian emosi ini :
* Mengucup anak-anak dengan penuh kasih sayang.
* Bermain dan bergurau.
* Memberi hadiah dan kata-kata pujian.
* Membelai kepala anak-anak dengan penuh kasih sayang.
* Sering Bertanya Khabar walau selalu bertemu dan berbual mesra.
* Mendahulukan anak perempuan berbanding lelaki dalam belaian kasih sayang.
4. KEPERLUAN ROHANI
* Pendidikan Tauhid - Beriman kepada Allah dengan cinta, takut dan rasa diawasi.
* Penyuburan cinta kepada Rasulullah dan Keluarganya.
* Pengajaran Al-Quran dan Hadis-Hadis.
Ibu bapa boleh di kategorikan sebagai IBU BAPA DERHAKA kepada anaknya iaitu sekiranya melakukan perkara berikut :
1. PILIH KASIH
Pilih kasih antara anak-anak yang lain. Membezakan anak-anak sama ada dari segi pendidikan, kecerdikan akal fikiran mahupun kewangan. Anak yang cerdik dan berada sentiasa diingati dan dipuji sebaliknya anak yang kurang cerdik dan kurang berharta sentiasa dipandang sebelah mata dan sering dicari kesalahannya.
2. TIDAK JODOHKAN ANAK PEREMPUANNYA
Bila sampai umur anak perempuan sesuai berkahwin, maka wajib ibu bapa carikan jodoh yang baik untuk anak gadisnya. Tetapi jika ibu bapa tidak mengahwinkan anaknya mereka boleh dikategorikan derhaka terhadap anaknya. Walau begitu, ibu bapa tidak berhak untuk memaksa anak gadisnya berkahwin. Perbincangan dan persetujuan anak gadis perlu diambil kira.
3. SUKA MEMUKUL ANAK-ANAK
Sering memukul anak-anak walaupun kesalahan yang dilakukan hanya kecil. Ibu bapa harus faham bahawa anak-anak kecil masih tidak faham sesetengah perkara yang dilakukannya. Jika ia membuat silap, seharusnya ditegur secara baik dan bukannya dipukul.
4. MENGELUARKAN KATA-KATA KESAT PADA ANAK-ANAK
Ibu bapa yang marah anak-anak dengan kata-kata kesat dan suka memaki hamun anak-anak memang dikategorikan IBU BAPA DERHAKA. Jika selalu dimaki hamun, emosi anak-anak akan menjadi terganggu semasa membesar dan kesannya anak-anak akan membenci dan berdendam dengan ibu bapa secara diam, dan secara tak langsung mereka akan menderhaka pada kita pula apabila mereka dewasa kelak.
So.. ingat senang jadi ibu bapa..? Perlukan KESEDIAAN dan PENGORBANAN. Allah memang memuliakan status ibu bapa tetapi tidak meminggirkan hak dan status anak. Jadi janganlah kita asyik gunakan istilah 'SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU' sebagai lesen untuk kita buat sesuka hati dalam membesarkan anak-anak, sedangkan kita sendiri sebagai ibu bapa pun belum tentu dapat masuk SYURGA ALLAH jika kita tidak menjalankan tanggungjawab terhadap amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya.
Peringatan untuk diri aku sendiri jugak.. Besama-samalah kita menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak kita dengan seikhlas-ikhlasnya.. Kerana mereka adalah permata pinjaman dari Allah.. Mana tahu jika kita asyik merasakan mereka beban kepada kita.. Tiba-tiba Allah ambil mereka daripada kita.. Masa tu nak menangis meraung pun dah tak guna kan..??
Aku sendiri pun kalau boleh tak nak terdetik walau sedikit pun dalam hati untuk berkecil hati pada anak-anak, kerana jika kita terasa or berkecil hati dengan anak-anak walau sedikit pun bermakna kita sendiri yang menempah neraka untuk mereka.. Nauzubillah...!!
Ya Allah Ya Tuhanku..
Kau peliharalah akhlak anak-anakku..
Kau lindungilah mereka disisiMu selalu..
Sesungguhnya merekalah harta yang tak ternilai bagiku..
Dan akanku berikan yang terbaik kepada mereka agar tidak lalai dan melupai Mu..
Aminnnn.. Ya Rabbal Alaminnnn......