Kali ni entry pasal kisah sedih pasal seekor kucing, akibat dari sikap buruk sangka dan tidak usul periksa oleh tuannya.. Rasa nak nangis jerk bila aku baca kisah ni.. Tapi ini semua untuk pengajaran pada kita, supaya jangan ada sikap buruk sangka dan suka buat tindakan tanpa usul periksa..!!
Malam itu hujan gerimis turun. Angin
pun bertiup sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal
di sebuah rumah kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana
ibu si suami itu dalam keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal
menunggu waktu saja. Hanya yang sangat merisaukan hati mereka, bagaimana
dengan anaknya Harun, anak mereka yang baru saja berumur empat bulan.
Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat menyebabkan sakit.
“Bagaimana Aminah, kita bawa saja Harun?” Tanya si suami.
“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.
“Habis
siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah mungkin akan kita tinggalkan
dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita ini terlalu dekat
dengan tanah perkuburan,” kata si suami.
“Ah, abang, janganlah berfikir yang
bukan-bukan,” kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada
Hurairah (kucing) di rumah. Dia saja kita suruh menjaga Harun.” Kata si
isteri.
“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si Hurairah.” Balas suaminya dengan gembira.
“Meong….” teriaknya kemudian. Maka
terdengarlah suara Hurairah membalas suara tuannya itu. Lalu dengan
langkah-langkah kecil dia mendekati tuannya.
“Wahai Hurairah, malam ini engkau tidak
usah menjaga padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu
pergi, oleh kerana itu jagalah si Harun,” kata si suami.
Kucing yang cantik itu mengeong sambil
mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab:
“Jangan bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si Harun supaya ia
tertidur dengan nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun
hinggap di tubuhnya.”
Setelah berpesan begitu, maka pasangan
suami dan isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu
bahawa Hurairah akan melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia
adalah seekor kucing yang sangat setia dengan majikannya.
Setelah melihat majikannya sudah pergi,
maka Hurairah dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur.
Ia duduk di sebelah si Harun yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya.
Ekornya dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani
mengganggunya. Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara
kedua kaki depannya siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang
berniat untuk mengusik ketenangan majikan kecilnya.
Menjelang pukul sepuluh malam,
tiba-tiba kucing itu mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur.
Dengan secepat mungkin Hurairah memasang kuda-kuda serta siap untuk
menghadapi segala kemungkinan. Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan
marah, ketika melihat sebuah mulut yang ternganga dengan taring dan
lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia adalah seekor ular besar yang
sudah siap untuk menelan Harun yang masih kecil itu.
Dengan cepat Hurairah melompat, giginya
langsung masuk menghunjam ke leher ular tersebut, dan cakarnya
menyerang dengan buas. Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi
oleh makhluk lain. Matanya merah seperti besi terbakar. Dia membalas
menyerang dengan hebat. Badan Hurairah dibelit dengan kuat, sambil
mulutnya mematuk-matuk muka Hurairah.
Hurairah hampir kehabisan tenaga,
kerana dibelit oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah
berlumuran darah. Namun dia tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh
ular tersebut. Dengan segala kemampuan dan kesakitannya, ia berusaha
untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua majikannya itu. Akhirnya
ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat menerkam leher ular itu.
Digigitnya batang leher makhluk jahat tersebut sekuat tenaga sehingga
akhirnya matilah musuhnya itu.
Begitu dilihatnya binatang pengganggu
itu sudah tergolek kaku, barulah Hurairah dengan sisa-sisa tenaganya
naik lagi ke atas tempat tidur si Harun dan duduk semula di samping si
Harun. Anak kecil itu masih tertidur dengan nyenyak. Hurairah
menjilat-jilat lukanya, sementara rasa pedih dan letih terasa sekujur
badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular tadi, sedangkan pada
mukanya terdapat luka-luka yang menganga.
Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi
secara tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah.
Dengan gerakan yang lemah dan lunglai, Hurairah turun dari tempat tidur.
Perlahan-lahan ia berjalan menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua
majikannya yang sangat dicintainya itu. Dilihatnya ibu Harun berjalan
menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula terlihat sangat sedih.
Hurairah pun ikut berdukacita memperhatikannya.
Mereka berbimbingan tangan memasuki
halaman rumah. Ketika mereka tiba di depan pintu, Hurairah berbunyi
lembut: “Ngeong…., ngeong…., sambil terhuyung-huyung mendekati
majikannya.
Tiba-tiba saja ibu Harun menjerit, “Bang….! Harun bang….!”
Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa Harun Aminah?” Tanya suaminya.
“Lihatlah si Hurairah, mulutnya
berlumuran darah. Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh,
Harun…. anak kita, bang. Bunuh Hurairah, bang! Ia telah memakan anak
kita!” Kata si isteri.
Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan
oleh isterinya. “Betul! Mulut Hurairah penuh dengan darah segar, pasti
Harun telah diterkamnya.”
Tanpa berfikir panjang, si suami lalu
mengambil besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu
ke tubuh si Hurairah. Kucing itu menjerit; “ngeong….” Lelaki itu
bertambah marahnya lagi, lalu diambilnya pula sebuah batu, ditimpakannya
ke kepala Hurairah.
Maka bercucuranlah darah dari kepala
binatang yang tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya
mengeluarkan air mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk
terakhir kalinya, kucing yang tak berdosa itu pun mati.
Melihat korbannya sudah mati, maka
pasangan suami isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah
terkejutnya mereka ketika melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama
kali di depan pintu adalah bangkai seekor ular besar yang hampir putus
lehernya. Maka dengan hati berdebar-debar mereka berlari ke tempat
tidur. Ternyata anaknya Harun masih tetap dalam keadaan tertidur
nyenyak.
Barulah mereka dapat meneka apa yang
telah terjadi selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Hurairah
yang bersalah, ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk
menyelamatkan anak mereka. Seketika itu juga pucatlah wajah mereka.
Mereka menyesal berkepanjangan.
Ternyata Hurairah adalah kucing yang
tetap setia. Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas
yang dipercayakan kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri
menjadi korban untuk menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan
yang diterimanya bukan belaian kasih sayang dan terima kasih, akan
tetapi nyawanya dihabiskan dengan penuh kekejaman.
Suami isteri itu menangis tersedu-sedu
menyesali kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji
untuk tidak lagi berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak
berdosa, tanpa periksa terlebih dahulu. Bangkai Hurairah diangkat dan
diciumnya, tapi yang sudah pergi tidak akan kembali, dan penyesalan
mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang sudah mati itu tidak akan
hidup lagi. Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat masa yang akan
datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan